Faktor yang Menyebabkan Pencemaran Sungai

Sungai, sebagai salah satu unsur alam semula jadi ciptaan Tuhan merupakan satu khazanah yang perlu kita pelihara supaya fungsinya dalam kehidupan makhluk di dunia ini sentiasa berkekalan. Di Malaysia, kita amat beruntung kerana dikurniakan banyak sungai untuk kegunaan masyarakat tempatan biarpun corak kehidupan manusia pada masa ini telah berubah. Pergantungan manusia kepada sungai masih terus berkekalan namun disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab, maka hari ini kita mendapati kebanyakan sungai di negara kita semakin tercemar seperti yang dapat kita lihat di Sungai Kelang, Sungai Gombak dan Sungai Skudai di Johordi Kuala Lumpur. Keindahan sungai seperti yang digambarkan melalui karya-karya sastera hanya sekadar impian yang jauh daripada realiti yang sebenarnya. Di media massa pula, kita sering melihat semua pihak saling menuding jari dan salah-menyalahkan pihak lain jika ditanya punca penemaran sungai di negara kita.

Bagaikan sudah menjadi budaya dan cara hidup, masyarakat yang tinggal di kawasan bandar khususnya mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai gemar membuang sampah-sarap ke dalam sungai berhampiran. Amalan int timbul disebabkan sikap tidak perihatin segelintir masyarakat yang tidak menyedari kemaslahatan sungai dalam kehidupan seharian. Tambah merumitkan keadaan, ramai peniaga dan pengusaha bengkel yang membuang sisa-sisa barangan tidak terpakai ke dalam longkang sebelum dibawa ke sungai oleh aliran air hujan. Kesannya, air sungai berubah warna menjadi hitam pekat serta dipenuhi dengan sampah-sarap dan lapisan minyak sehingga mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan. Air sungai yang telah tercemar ini adalah tidak sesuai untuk digunakan malah tidak selamat untuk diminum. Hal ini mengakibatkan masalah kekurangan bekalan air bersih bagi kegunaan harian kita. Jelasnya, pencemaran sungai ini berlaku disebabkan oleh sikap manusia yang terlalu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan sungai pada masa yang akan datang.

Selain itu, pencemaran sungai juga berlaku disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan bangunan di kawasan bandar. Pembinaan bangunan untuk tujuan membina rumah kediaman, kilang atau premis-premis perniagaan telah mengakibatkan berlakunya hakisan tanah. Hakisan tanah yang berlaku secara berterusan menyebabkan aliran lumpur apabila berlaku hujan lebat yang seterusnya membawa bahan-bahan hakisan tersebut sebelum dimendapkan ke dalam sungai. Hal ini menyebabkan air sungai berubah warna menjadi keruh dan kekuningan di samping menyebabkan dasar sungai menjadi semakin cetek. Natijahnya, sungai-sungai yang cetek ini kerap mengundang kejadian banjir kilat terutamanya apabila hujan turun dengan lebat seperti mana yang sering berlaku di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Bahru.sehingga dapat mengancam nyawa dan merosakkan harta benda. Memandangkan kerja-kerja pembinaan tanpa kawalan menjadi punca pencemaran sungai di bandar-bandar maka tindakan tegas perlu dikenakan kepada pemaju-pemaju perumahan yang menyebabkan gejala tersebut berlaku tanpa menunggu sehinga nasi sudah menjadi bubur supaya meraka tidak bersikap lepas tangan.

Pada masa yang sama, pencemaran sungai juga berlaku apabila terdapatnya aktiviti penebangan hutan secara meluas tanpa kawalan oleh pihak yang berwajib. Kebanyakan hutan yang menjadi punca bekalan air bersih kepada sungai ditebang untuk aktiviti pembalakan atau dijadikan kawasan pertanian, kawasan petempatan mahupun sebagai kawasan perindustrian. Akibat pemusnahan kawasan hijau ini, bekalan air ke sungai-sungai semakin berkurangan dan menjejaskan sumber air untuk kegunaan orang ramai. Hakisan tanah juga akan berlaku dan dimendapkan di sungai-sungai berhampiran apabila hujan turun. Kesannya, air sungai akan tercemar dan bertukar menjadi keruh. Sungai Pahang yang dahulunya jernih dan sesuai dijadikan kawasan beriadah umpamanya, kini telah menjadi keruh dan tidak sesuai lagi dijadikan kawasan mandi-manda. Para pelancong tidak lagi menjadikan sungai sebagai salah satu tarikan dan destinasi utama disebabkan oleh pencemaran tersebut. Oleh itu untuk mengekalkan keindahan sungai di negara kita, aktiviti penebangan hutan yang menjadi punca pencemaran sungai perlu di kawal oleh pihak yang berwajib.

Menurut hasil kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Sumber Asli, Tenaga dan Air, lebih kurang 30 peratus pencemaran sungai di negara kita adalah disebabkan oleh usaha-usaha perlombongan sumber asli di kawasan sungai. Di Selangor dan Johor misalnya, kerja-kerja mengorek dan menyedut pasir sungai untuk tujuan pembinaan sama ada melalui kebenaran pihak berkuasa mahupun secara haram, telah menyebabkan air sungai menjadi kotor dan tercemar. Sementara itu, sungai-sungai di sekitar Lembah Kinta juga turut mengalami nasib yang sama kerana industri perlombongan bijih timah melalui teknik pam hidrol telah mengakibatkan pemendapan lumpur di kawasan sungai berhampiran. Pihak pengusaha yang bersikap terlalu mementingkan keuntungan semata-mata biasanya kurang menekan kesan yang bakal timbul akibat tindakan yang telah mereka lakukan. Akibatnya, sungai yang sudah sedia tercemar semakin menjadi kotor dan tidak dapt digunakan oleh orang ramai bagi mendapatkan bekalan air bersih bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Jadi, kerja-kerja melombong sumber asli di kawasan sungai ini perlulah dikawal supaya penemaran sungai dapat dikurangkan.

Sementara itu jika dilihat dari sudut pandang yang berbeza, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut menyumbang pada pencemaran sungai. Hal ini berlaku apabila para pelancong sering membuang sampah-sarap seperti sisa makanan dan minuman ke dalam sungai terutamanya sungai-sungai di kawasan rekreasi. Sikap tidak bertanggungjawab ini bagaikan sudah menjadi darah daging yang sebati dalam jiwa mereka biarpun kemudahan tong sampah telah disediakan. Pembinaan hotel-hotel yang menjadi tumpuan pelancong juga turut mencemarkan sungai kita apabila bahan-bahan kumbahan dari hotel tersebut disalurkan ke kawasan sungai. Kesannya bukan sahaja mengakibatkan air sungai menjadi kotor tetapi turut memusnahkan habitat hidupan akuatik serta menyebabkan kepupusan ikan dan udang yang boleh dijadikan sebagai sumber bekalan protein kepada penduduk tempatan. Memandangkan industri pelancongan turut mmberi implikasi negatif ke atas sungai-sungai di negara kita, maka tindakan bersepadu yang bersifat serampang dua mata perlu diambil bagi mengimbangi kemajuan industri ini sejajar dengan kepentingan memelihara alam sekitar khususnya sungai-sungai di negara kita.

Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, tiada siapa pun yang mampu menafikan bahawa pembinaan kilang-kilang pembuatan atau sektor perindustrian di negara kita telah menjadi punca utama berlakunya pencemaran sungai. Demi mengaut keuntungan berlebihan, selalunya pemilik kilang mengambil jalan mudah dengan membuang sisa-sisa kilang atau sisa-sisa toksik yang berbahaya ke dalam sungai. Menurut kajian oleh Kementerian Alam sekitar, kilang-kilang yang didirikan berhampiran dengan sungai menghasilkan kadar pencemaran sungai paling tinggi sehingga mengakibatkan kandungan asid yang tinggi. Hal ini berlaku kerana sisa kilang tidak diproses terlebih dahulu sebelum disalurkan ke sungai-sungai walaupun terdapat akta yang menghalang pemilik kilang daripada melepaskan sisa toksik ke dalam sungai. Sikap pemilik kilang yang besar kepala ini memberi impak yang amat buruk terhadap kebersihan sungai di kawasan berhampiran serta memerlukan kos yang tinggi untuk membaik pulih bagi membersihkan semula sungai di kawasan terbabit.

Intihanya, kemusnahan sungai anugerah Tuhan kepada manusia adalah disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri akibat sikap terlalu mengambil mudah demi kepentingan diri. Apa pula alasan yang bakal kita berikan kepada generasi akan datang jika anak cucu kita menyalahkan kita kerana memusnahkan sungai tersebut? Tepuk dada tanya selera. Oleh itu, tiada jalan pintas yang dapat kita lakukan melainkan berusaha lebih awal untuk menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada melakukan pencemaran sungai kerana mencegah lebih baik daripada mengubat. Tiada gunanya kita menangis air mata darah sekalipun sekiranya tiada lagi sumber air yang dapat kita gunakan untuk menyambung hidup kita nanti, bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Comments

Post a Comment

Popular Posts