Kepentingan Air

Air merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga di dalam kehidupan manusia, tanpanya semua hidupan akan mati. Menurut Kamus Dewan, air boleh didefinasikan sebagai cecair yang terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen. Secara geografinya, air yang digunakan oleh manusia berpunca daripada air hujan.

Air adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di muka bumi ini. Air adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia mungkin masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja tetapi tidak tanpa air. Krisis air di Lembah Kelang yang melanda negara pada tahun 1998 dan awal tahun 2002 yang lalu adalah bukti jelas bahawa betapa pentingnya air di dalam kehidupan kita. Krisis ini banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan tentang kepentingan air.

Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan. Sebagai sumber asli yang paling berharga, air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi tujuan pelbagai aspek kehidupan. Tanpa air, kita mungkin tidak dapat menikmati dan meneruskan penghidupan ini dengan selamat, selesa dan sempurna.

Sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah setentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan dapat mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit. Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga dapat dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.

Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut dapat menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya untuk dapat digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.

Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Comments

Post a Comment

Popular Posts