Jenis-Jenis Pencemaran Air

Dari sudut kajian hidrologi, pada amnya pencemaran air dapat diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu pencemaran fizikal, pencemaran biologi dan pencemaran kimia Pencemaran fizikal merujuk kepada bahan tidak larut dalam air seperti sampah sarap daripada logam, kaca, kelodak dan kertas. Pencemaran biologi adalah seperti najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain manakala pencemaran kimia iaitu bahan kimia terlarut yang terhasil daripada pencemaran fizikal dan biologi serta logam berat . Namun, jenis utama pencemaran air dikategorikan kepada tiga iaitu pencemaran sungai, pencemaran laut dan pencemaran air bawah tanah atau tasik.

Pencemaran Sungai

Kebanyakan sungai yang mengalami pencemaran yang serius ialah sungai-sungai yang melalui kawasan perbandaran seperti bandar-bandar besar dan kawasan perindustrian berbanding dengan sungai yang terletak di luar bandar dan kawasan pedalaman. Di Malaysia, bilangan sungai yang tercemar telah meningkat dari tujuh kepada sebelas batang sungai pada tahun 1992 dan 1993 (Mohamadisa Hashim dan Mohamad Yusri Che Ngah, 2005:36).

Sejak tahun 1978 pihak Jabatan Alam Sekitar telah memantau status kualiti air sungai berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA). Parameter yang digunakan untuk mendapatkan IKA terdiri daripada keperluan Oksigen Biokimia (BOD5), keperluan Oksigen Kimia (COD, Ammoniakol Nitrogen (NH3N), pepejal terampai (SS), nilai pH dan Oksigen Terlarut (DO). Ukuran IKA dihititung dan dijadikan IKA keseluruhan untuk mengklasifikasikan air sungai mengikut status bersih (B), sederhana tercemar (ST) dan tercemar (T). klasifikasi air ditunjukan seperti berikut:
Parameter Indeks

Pencemaran Laut

Jenis pencemaran air yang kedua ialah pencemaran laut. Pencemaran ini berlaku disebabkan oleh pembuangan kotoran daripada punca daratan ke laut, pembuangan sisa berbahaya daripada kapal dan limpahan minyak. Selain itu, tumpahan minyak dari pelantar telah dilaporkan lebih banyak berlaku yang juga menyebabkan pencemaran laut. Laut mengalami pencemaran daripada banyak sumber. Pencemar utama air laut ialah minyak, gris, pepejal terampai dan Esherichia coli (E.coli). Selain itu, kapal-kapal membuang najis dan sisa terus ke dalam laut manakala sungai pula mengalirkan bahan kimia sektor pertanian seperti pestisiddan baja bersama dengan buangan sampah-sarap.

Pencemaran laut juga berlaku disebabkan oleh kelodak dari ladang, kuari atau hasil projek pembangunan dan pembalakan dialirkan ke sungai dan dibawa ke laut bersama-sama dengan effluen-effluen industri. Sampah-sarap dari pantai yang menjadi tarikan pelancongan juga dialirkan ke laut. Di samping itu, laut juga dicemari oleh logam-logam berat seperti merkuri, plumbum, zink dan kadmium. Istilah logam berat merujukkepada kumpulan unsur yang mempunyai ketumpatan melebihi 5 gm/cm3. Antara contohnya adalah Pb, Cd, Hg, Ni dan Co (http://www.scribd.com/doc/19491462/Pencemaran-Air).

Pencemaran Air Bawah Tanah/Tasik

Pencemaran air tasik dan air bawah tanah juga berlaku. Pencemaran jenis ini disebabkan oleh buangan industri yang ditanam dalam tanah serta baja kimia, racun serangga dan racun rumpai dari bidang pertanian. Selain itu, penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal telah mengurangkan dengan banyaknya ikan air tawar di beberapa kawasan dan berlakunya pencemaran air di kawasan tersebut. Sebagai contoh, pencemaran air Tasik Chini di negeri Pahang berlaku disebabkan oleh pembangunanya sebagai destinasi pelancongan dan juga penerokaan kawasan sekitar tasik untuk sektor pertanian. Baja dibawa ke tasik oleh air hujan menyebabkan tumbuhan akuatik seperti tumbuhan terapung dan tumbuhan tenggelam tumbuh subur di kawasan tasik. Oleh itu, pembangunan berterusan tanpa kawalan berkemungkinan akan menyebabkan pencemaran pada ekosistem tasik tersebut.




Comments

Popular Posts