Pengenalan kepada Pencemaran Air

Dewasa ini, dalam mengejar arus pemodenan terdapat pelbagai projek pembangunan dan aktiviti-aktiviti ekonomi jelas kelihatan di merata tempat. Namun, pembangunan yang pesat dalam meningkatkan taraf hidup penduduk telah menyebabkan masalah alam sekitar. Hal ini telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya pencemaran. Masalah yang berlaku ini semakin menggugat kesihatan manusia, sumber-sumber ekonomi dan seterusnya kemandirian bumi.

Menurut Seksyen 2 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (1974:5), pencemaran adalah apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat- sifat fizik, kimia atau biologi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah yang menyebabkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan.

Pencemaran dapat dikategorikan dan disenaraikan kepada pelbagai bentuk seperti pencemaran air, udara, bunyi dan lain-lain lagi. Namun, penulisan ini hanya akan memberi fokus kepada satu jenis pencemaran sahaja iaitu pencemaran air. Diketahui bahawa semua kehidupan di bumi ini memerlukan air yang merupakan sumber alam amat penting. Akan tetapi, masalah pencemaran air yang berlaku telah mengganggu dan merosakkan tubuh manusia serta hidupan lain yang menggunakan air sebagai minuman dan kegunaan harian. Pencemaran air ditakrifkan sebagai sebarang apa yang menyebabkan atau menggalakkan keadaan yang buruk dalam mana-mana badan air dan meninggalkan kesan yang negatif ke atas kemungkinan penggunannya (S. Robert Aiken et.al. 1994:290). Oleh itu, pencemaran air terjadi apabila berlaku perubahan dari segi warna, keadaan dan kandungan sehingga air tersebut tidak sesuai digunakan. Perubahan yang berlaku secara sengaja atau tidak seperti kebocoran dan luahan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi menunjukkan tanda-tanda berlakunya pencemaran air.

Selain itu, pencemaran air boleh berlaku akibat proses semula jadi. Namun kebanyakkan pencemaran yang berlaku adalah akibat daripada aktiviti manusia. Hal ini berlaku kerana proses globalisasi yang membawa kepada pembangunan menyebabkan masalah pencemaran kian berleluasa. Rajah 1 di bahagian lampiran menunjukkan peratus pencemaran air berdasarkan aduan diterima oleh Jabatan Alam Sekitar dan peratusan mengikut negeri di Malaysia pada tahun 1998. Penulisan ini seterusnya akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai jenis pencemaran air, punca dan kesan pencemaran air, contoh isu-isu berkaitan, peraturan Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 berkaitan pencemaran air dan akhir sekali langkah mengatasi pencemaran air.

Comments

Popular Posts