Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Air

Air merupakan sumber yang penting dalam kehidupan yang harus dipelihara dan dikawal sebaik mungkin. Masalah pencemaran air telah cuba diatasi oleh kerajaan dan pihak berkaitan melalui pelbagai cara seperti melalui peruntukan perundangan dan bukan perundangan.

Perundangan

Pada dekat 1960, Malaysia menghadapi masalah alam sekitar terutamnya dalam bentuk pencemaran air dengan perkembangan pembangunan ekonomi di pelbagai sektor seperti perindustrian, pertanian, pengangkutan dan perumahan. Justeru itu, menurut Mohamadisa Hashim dan Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah (2005:19) masalah-masalah ini telah merangsang dan menggerakkan pihak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah tertentu dan antara yang terpenting ialah menggubal dan mewartakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pembentukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sains, teknologi dan Alam Sekitar. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan berkaitan pencemaran air telah diterangkan pada sub tajuk sebelum ini.

Bukan Perundangan

Dari segi bukan perundangan, pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam melaksanakan program-program bagi mengatasi pencemaran air terutamanya pencemaran sungai. Antaranya ialah peranan pihak kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan seterusnya peranan masyarakat. Antara langkah-langkah mengatasi pencemaran air secara bukan perundangan adalah melalui pendidikan alam sekitar iaitu secara formal dan tidak formal.

Pendidikan alam sekitar dijadikan sebagai suatu kaedah untuk menyediakan individu yang dapat memahami dan mengetahui tentang kepentingan penjagaan alam sekitar (Mohamadisa Hashim dan Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2005:2). Pendidikan alam sekitar secara formal telah diajar di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi. Di sekolah, mata pelajaran Sains dan Kajian Tempatan diajar mengenai alam sekitar dan pendidikan alam sekitar turut diajar dengan mata pelajaran lain seperti Geografi, Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Setersunya, di peringakat institut pengajain tinggi sama asa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut diajar mengenai alam sekitar dalam subjek-subjek tertentu.

Pendidikan tidak formal pula banyak dibantu oleh pihak swasta dan badan bukan kerajaan. Pendidikan tidak formal disumbangkan dengan pelbagai cara dan media massa berperanan penting untuk menyebarkannya. Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan program tidak formal seperti seminar, perkhemahan, kempen dan sebagainya. Antara program-program yang diadalan adalah seperti Program Pencegahan Pencemaran Air dan Peningkatan Kualiti Air Sungai, Program Kitar Semula, Bandar Lestari, Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS), Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) dan sebagainya. Kesemua program yang dilaksanakan adalah penting untuk mendidik masyarakat agar mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Justeru itu, etika masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar dapat dibentuk agar mempunyai nilai-nilai murni dan tingkah laku yang baik terhadap alam sekitar. Maka, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk sama-sama menjaga alam sekitar daripada kerosakan dan kemusnahan.


Comments

Popular Posts