Punca-Punca Pembangunan Air

Menurut Mohamad Suhaily Yusri Haji Che Ngah dalam buku Isu-isu Pengurusan Alam Sekitar oleh Hamidi Ismail dan Tuan Pah Rokiah Syed Hussain (2006:45), pencemaran air boleh disebabkan oleh pelbagai jenis sebatain organik dan tak organik dan mikroorganisma selalunya memainkan peranan yang penting bagi menentukan sejauh mana pencemaran itu.
Secara amnya, pencemaran air terjadi bila berlaku perubahan dari segi kandungan dan warna sehingga tidak sesuai digunakan dan memberi kesan bahaya kepada kesihatan manusia.

Menurut Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2007, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah merekodkan sebanyak 19,320 punca-punca pencemaran air. Ianya merangkumi loji rawatan kumbahan iaitu sebanyak 9,337@48.3% termasuk 640 stesen rangkaian pam, industri pembuatan 8,708@ 45.1%, ladang khinzir 779@ 4.0% dan industri berasaskan pertanian 485@2.5%. JAS telah mengumpulkan statistik berhubung punca-punca pencemaran air dari industri pembuatan dan industri berasaskan pertanian melalui lawatan lapangan dan soal selidik. Jumlah keseluruhan punca pencemaran air dari kedua-dua industri ini ádalah sebanyak 9,204 (http://www.doe.gov.my/old/?q=ms/content/punca-pencemaran-air-sungai).

Sebahagian besar pencemaran yang terjadi di dunia ini adalah akibat kegiatan manusia. Di samping itu, penduduk yang terus meningkat menambahkan lagi masalah pencemaran (Jainine Amas, 2001:4). Pencemaran air yang berlaku disebabkan oleh beberapa faktor atau punca. Antaranya ialah pembangunan tanah, perindustrian, pertanian, perlombongan dan pembalakan serta loji rawatan kumbahan.

Pembangunan Tanah

Proses pembangunan tanah dirujuk kepada pembangunan infrastruktur awam seperti perumahan, jalan raya, guna tanah semula, pembalakan untuk tujuan pembangunan bandar baru telah memberi impak terhadap kualiti air (Mohamadisa Hashim dan Mohamad Yusri Che Ngah, 2005:36). Hakisan tanah berlaku disebabkan oleh kegiatan-kegiatan tersebut yang menimbulkan masalah pencemaran air. Hakisan tanah yang berlaku dialirkan ke dalam sungai sehinggakan sungai menjadi cetek akibat pemendapan tanah dan lumpur. Manusia dan hidupan akuatik menerima kesan daripada sungai yang cetek apabila air melimpah ke daratan akibat hujan lebat dan seterusnya berlakunya banjir kilat. Sejak dahulu lagi, pencemaran air berpunca daripada pembangunan sumber tanah yang menyebabkan hakisan dan pemendapan serta pengubahsuaian regim hidrologi yang dulunya adalah stabil.

Perindustrian

Kini, terdapat banyak kilang dan kawasan perindustrian di Malaysia. Keadaan tersebut menyumbang kepada berlakunya pencemaran air sama ada di sungai mahupun laut. Kesihatan penduduk tergugat apabila bahan kumuhan kilang seperti sisa toksid dibuang ke sungai atau laut dan seterusnya menyebabkan kemudaratan kepada aktiviti manusia. Oleh itu, manusia terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Punca pencemaran air dari segi perindustrian ialah pembuangan efluen dari aktiviti perkilangan. Sebagai contoh, pencemaran air di Pulau Pinang, Selangor dan Johor berlaku adalah berpunca daripada sisa industri yang mengalir ke laut. Hal ini kerana, negeri-negeri tersebut merupakan negeri perindustrian dan perlu diberi perhatian lebih untuk kesejahteraan masyarakat. Air sungai dan laut tercemara apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik. Pencemaran air boleh menjejaskan hidupan akuatik dan seterusnya sumber makanan. Di samping itu, menjejaskan ekonomi nelayan tradisional apabila pencemaran laut berlaku akibat daripada kegiatan perindustrian.

Pertanian

Faktor pertanian juga menyumbang berlakunya pencemaran air. Hal ini berpunca daripada kilang getah, kelapa sawit, nanas, ubi, kayu dan tebu. Kesemuanya berupaya menghasilkan bahan buangan organik yang tinggi dan dengan mudah mengakibatkan pencemaran air kerana sebahagian besar kilang tersebut menyalurkan bahan buangannya ke alur air sungai. Selain itu, pencemaran dari aktiviti pertanian seperti penggunaan racun serangga berlebihan sehingga mengganggu kualiti air seperti di sawah padi atau pun perladangan. Pembukaan kawasan perladangan yang baru turut membawa air kelodak dan lumpur ke sungai berdekatan di samping aktiviti pembukaan tanah atau projek pembinaan perumahan atau bangunan.

Perlombongan dan pembalakan

Aktiviti pembalakan menjejaskan sumber kawasan tadahan dan menyebabkan timbunan lumpur dan kelodak yang akhirnya menyebabkan nilai keindahan sungai terjejas serta sungai menjadi cetek. Selain itu, sampah sarap serta pembuangan sisa kumbahan domestik dari setinggan dan aktiviti perlombongan seperti perlombongan bijih timah atau apa-apa sahaja aktiviti perlombongan yang berhampiran sungai juga merupakan punca berlakunya pencemaran sungai. Di samping itu, kegiatan pembalakan dan perlombongan di kawasan tadahan mengakibatkan masalah pemendapan dan kelodak seperti pembalakan di hutan Ulu Muda meliputi kawasan Hutan Tadahan Air menimbulkan kebimbangan besar kepada masyarakat setempat.

Loji Rawatan Kumbahan

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. telah menguruskan loji rawatan kumbahan di Semenanjung Malaysia dan Labuan. Bilangan loji rawatan kumbahan di bawah pengurusan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. telah bertambah daripada 9,060 pada tahun 2006 berbanding 9,337 buah loji pada tahun 2007. Selangor mencatatkan bilangan loji rawatan kumbahan yang paling tinggi iaitu sebanyak 2,649@ 28.4%, diikuti Perak 1,398 @15.0%, Johor 1,038@ 11.1% dan Negeri Sembilan 937@ 10.0%. Pelepasan effluen daripada loji rawatan kumbahan termasuk yang telah dirawat sepenuhnya atau dirawat separuh merupakan penyumbang kepada beban pencemar organik utama. Dianggarkan sebanyak 941,934.27 kg/hari beban BOD dilepaskan dari loji rawatan kumbahan. Ini diikuti oleh effluen dari ladang khinzir sebanyak 223,062 kg/hari dan industri pembuatan dan industri berasakan pertanian sebanyak 81,596.83 kg/hari. Jadual di bawah menunjukkan jumlah beban BOD yang dilepaskan daripada loji rawatan kumbahan pada tahun 2007.





Comments

Popular Posts